Sultan Muhammad II daripada Khilafah Uthamaniyah di Turki merupakan sebuah nama yang tidak asing di dalam dunia sejarah Islam. Diberikan gelaran al-Fateh yang bermaksud “Penakluk” (the Conqueror), baginda merupakan sultan yang berjaya mengalahkan kubu terakhir Rom Timur di Byzantine, Kota Konstantinopel.

 

Cerita tentang sejarah kebijaksanaan dan kepimpinan baginda Sultan al-Fateh seringkali disampaikan melalui kisah sewaktu baginda menawan kota kebal tersebut yang dikatakan mustahil untuk ditewaskan, tetapi tahukah anda, sisi kepimpinan Sultan Muhammad sudah pun tetserlah saat baginda masih lagi kecil?

 

Sedikit latar belakang tentang baginda, Sultan Muhammad dilahirkan pada 30 Mac 1432. Merupakan anak ketiga Sultan Murad II dan ibu baginda pula bernama Huma Hatun. Sultan Muhammad sebenarnya bukanlah seorang waris kepada takhta kerajaan Uthamaniyah. Namun oleh kerana kematian abang baginda, maka baginda diletakkan sebagai pewaris yang akan menggantikan ayahanda baginda, Sultan Murad II.

Menjadi Sultan Ketika Berusia 12 Tahun

Sultan Fateh 12 tahunSultan Muhammad al-Fateh ditabalkan sebagai Sultan bagi kerajaan Turki Uthamaniyah secara rasmi ketika berusia 19 tahun. Namun terdapat sebuah peristiwa menarik untuk kita ambil pelajaran, bagaimana sifat kepimpinan baginda sudah pun terserlah ketika dalam usia yang sangat muda, 12 tahun.

 

Selepas kempen yang gagal di Pertempuran Varna pada tahun 1444, ayahanda baginda, Sultan Murad II telah mengambil keputusan untuk meninggalkan takhta kerajaan baginda. Hal ini secara automatik telah menjadikan Sultan Muhammad II sebagai Sultan bagi kerajaan Turki Uthamaniyah.

 

Memandangkan usia baginda yang pada ketika itu baru berusia 12 tahun, ramai musuh kerajaan mula mengintai peluang untuk menjatuhkan kerajaan daripada dalam mahupun luar. Menteri-menteri mula mengorak langkah untuk menguasai Sultan Muhammad yang masih lagi kecil dan kerajaan-kerajaan luar pula mula mengishtiharkan perang dengan menganggap bahawa ianya pasti lebih mudah untuk berhadapan dengan pemimpin yang tidak mempunyai sebarang pengalaman.

 

Kerajaan Hungary sebagai contohnya, dengan sengaja telah melanggar Perjanjian Damai Szeged dengan beranggapan bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka sekiranya perang meletus. Bagi mana-mana remaja yang begitu muda dan berhadapan dengan pelbagai tekanan, pastinya tidak mampu memikirkan solusi terbaik bagi menyelesaikan semua masalah. Namun tidak bagi Sultan Muhammad al-Fateh.

Baginda menunjukkan sifat tenang dan matang yang begitu menakjubkan dan sesuatu yang sangat baik untuk dipelajari.

Baginda Sultan Muhammad II telah menghantar sepucuk surat kepada ayahanda baginda Sultan Murad II di mana isi surat tersebut telah menaikkan kembali motivasi ayahanda baginda. Di dalam surat tersebut, baginda telah menulis, “Sekiranya ayahanda adalah seorang sultan, maka datanglah semula dan pimpinlah tentera ayahanda. Namun, sekiranya ayahanda telah melantik saya sebagai seorang sultan, maka saya arahkan agar ayahanda datang semula dan pimpinlah tentera saya”.

 

Surat tersebut telah memberikan sebuah tamparan hebat yang telah mengejutkan ayahanda baginda sendiri. Terinsipirasi daripada kematangan Sultan Muhammad, baginda Sultan Murad II pun telah datang kembali memimpin tentera baginda sehingga mampu mengalahkan pasukan tentera Hungary pada tahun yang sama. Sultan Murad II kekal menjadi sultan Uthamaniyah sehinggalah akhir hayat baginda pada tujuh tahun kemudian.

 

Hebat bukan kisah Sultan Muhammad al-Fateh pada usia yang begitu muda? Usia bukanlah kayu ukur bagi kematangan seseorang. Dariapda umur yang masih kecil, cara baginda membuat keputusan adalah sesuatu yang menakjubkan. Maka tidak hairanlah sekiranya dalam usia yang muda juga baginda mampu untuk menakluk kubu kuat bagi tentera Kristian di Timur. Sebenarnya terdapat banyak kisah kisah menarik yang boleh dipelajari daripada baginda. Ha, kami akan kongsikan lagi kisah kisah menarik tentang sejarah pada artikel-artikel yang akan datang.